Ulasan Buku Tadbir Urus Efektif, Politik dan Kualiti: Perspektif Islam dan Kontemporari

Penulis: Makmor bin Tumin

Dibaca: 525 kali

Ilustrasi

Oleh Makmor bin Tumin

 

 

Sharifah Hayaati Syed Ismail, Mohd Zaidi Abdul Rahman, Siti Arni Basir (2020). Tadbir Urus Efektif, Politik dan Kualiti: Perspektif Islam dan Kontemporari. UMPress, 218 pp. ISBN: 978-967-488-146-7

 

Kerajaan mempunyai struktur dan fungsi memastikan matlamat kehidupan bernegara seperti kesejahteraan, kebajikan dan keadilan tercapai, dan tadbir urus adalah proses bagi memastikan matlamat itu tercapai.

Pada peringkat antarabangsa, terdapat petunjuk tertentu bagi mengukur prestasi negara dari segi tadbir urus ini, misalnya instrumen yang dibiaya oleh Bank Dunia melalui program Worldwide Governance Indicator (WGI). Program ini telah bermula semenjak 1996 lagi, melibatkan kira-kira 200 negara termasuk Malaysia. Dalam konteks perkembangan seperti inilah Sharifah Hayaati Syed Ismail, Muhammad Zaidi Abdul Rahman dan Siti Arni Basir mengusahakan penulisan buku yang bertajuk, “Tadbir Urus Efektif, Politik dan Kualiti: Perspektif Islam dan Kontemporari.”

Lima bab terawal buku ini ditulis oleh Ustazah Sharifah Hayaati manakala dua bab kemudiannya ditulis oleh Ustaz Mohamad Zaidi dan tiga bab berikutnya ditulis oleh Ustazah Siti Arni. Mulai dari Bab 1 lagi Ustazah Sharifah telah menghuraikan konsep governan atau tadbir urus dengan memperincikan ciri-ciri tadbir urus berkesan dari perspektif Islam. Ciri fundamental yang ditonjolkan beliau adalah yang berkaitan dengan memelihara maslahah masyarakat selari dengan maqasid syariah, patuh syariah bagi menjaga hak dan kepentingan masyarakat, sekali gus mengelak ketidakadilan dalam proses tadbir urus berkenaan.

Daripada Bab 1 dan dalam bab-bab kemudiannya, prinsip-prinsip seperti adil, amanah, ihsan dan ketelusan terus digunakan oleh Ustazah Sharifah sebagai sandaran huraian yang mana menurut beliau, ianya perlu menjadi tunjang melalui kesepakatan dengan sektor yang terlibat seperti politik, swasta, dan masyarakat sivil. Dalam membincangkan tentang pentadbiran Islam dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia (Bab 2), beliau yakin bahawa modus operandi sesebuah pentadbiran negara akan lebih lancar dan teratur dengan adanya amalan-amalan tadbir urus Islam di bawah kaedah-kaedah pentadbiran Islam yang digarap oleh para ulama melalui gabungan teori-teori individu tertentu berdasarkan prinsip yang digariskan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Tambah beliau lagi, perkara ini terbukti sebagaimana terdapat dalam sejarah pemerintahan Islam.

Dalam Bab 3 yang mengandungi perbincangan tentang perancangan strategik dalam proses governan efektif, Ustazah Sharifah menerangkan beberapa aspek yang dapat menentukan kejayaan sesebuah organisasi, terutamanya dari segi komitmen kakitangannya tanpa dilalaikan dengan rasa kebergantungan kepada Yang Berkuasa. Menurut beliau lagi, ciri-ciri perancangan strategi seperti objektiviti, rasionaliti, fleksibiliti, analisa kos-faedah ekonomi dan sosial berserta aspek pengetahuan, kebijaksanaan dan penerapan nilai dalam setiap proses perancangan itu perlu ditumpukan bagi kemaslahatan semua pihak dalam memastikan tadbir urus yang berkesan dapat dipantau.

Dalam Bab 4 buku inilah Ustazah Sharifah menonjolkan bagaimana tadbir urus efektif dimulakan dalam sejarah pemerintahan Islam dengan merujuk kepada dua zaman kegemilangan Islam iaitu pada zaman Khalifah Harun al-Rasyid (766-809) di bawah pemerintahan Abbasiyah dan Sultan Suleimen al-Qanuni (1494-1566) di bawah Pemerintahan Uthmaniyyah. Kepentingan melibatkan seberapa ramai pemegang taruh (stakeholder) dalam proses tadbir urus modern sememangnya tidak dapat dinafikan. Dalam konteks inilah Ustazah Sharifah membincangkan perihal social inclusiveness dalam tadbir urus yang berkesan itu. Sebagaimana yang ditegaskan beliau, melalui penglibatan awam ini bukan sahaja pelbagai sumber dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan dan cekap serta dapat membangunkan kemahiran dan membina keupayaan komuniti bahkan penglibatan awam dapat membantu melaksanakan proses demokrasi sekali gus membina tadbir urus yang berkesan dan mengelakkan ketidakseimbangan kuasa.

Seterusnya, perbincangan dalam buku ini adalah berkaitan dengan perspektif Islam dan kontemporari tentang politik yang ditulis oleh Ustaz Zaidi. Dalam Bab 6, beliau menegaskan bahawa maslahah atau kepentingan awam itu menjadi teras, bukan sahaja dalam polisi awam dan siyasah syar’iyyah, tetapi juga dalam falsafah politik Barat atau kontemporari. Namun, yang tiada dalam falsafah Barat itu adalah keseimbangan pencapaian duniawi dan ukhrawi, di samping tiadanya penekanan terhadap aspek pengukuhan akhlak, sebagaimana yang beliau nyatakan terhadap gagasan Barat berkaitan humanisme, realisme, sekularisme-dualisme, liberalisme, dan modenisme.

Selanjutnya, dalam Bab 7, Ustaz Zaidi mengangkat gagasan pemikir Islam kontemporari melalui buah fikiran Yusuf al-Qaradawi terhadap konsep demokrasi. Tokoh ini menurut beliau mengambil sikap yang terbuka terhadap kewujudan sistem demokrasi yang dilihat sebagai alternatif terhadap sistem politik kuku besi yang diamalkan di kebanyakan negara Arab. Sungguhpun begitu, menurut Ustaz Zaidi tokoh ini menapis pelbagai konsep demokrasi Barat itu, khususnya yang berkaitan dengan kebebasan dan hak asasi manusia yang didapati tidak bertepatan dengan Islam.

Dalam bahagian ketiga buku ini, iaitu dalam Bab 8, 9 dan 10, Ustazah Arni menghuraikan tentang sistem pengurusan kualiti berasaskan syariah; MS 1900, dengan memfokuskan perlaksanaannya dalam institusi pentadbiran Islam di Malaysia, khasnya dengan tumpuan kajian kes di Pusat Zakat Melaka. Bagi memastikan tindakan yang responsif dari pihak pentadbiran, menurut beliau, pihak pengurusan institusi pentadbiran Islam perlu meneroka dan melaksanakan pelbagai program atau teknik pengurusan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan yang disediakan, yang mana MS 1900 merupakan salah satu program pengurusan yang boleh diguna pakai di institusi berkenaan sebagai inisiatif kualiti yang patuh syariah dan bertepatan dnegan prinsip wasatiyah. Dalam Bab 9 dan 10 itulah beliau memperincikan tentang keperluan sistem pengurusan kualiti dan faedah-faedah yang diperolehi daripada perlaksanaan MS 1900 berdasarkan kes kajian di Pusat Zakat Melaka itu. Berdasarkan pemerhatian beliau, institusi Islam seperti Darul Quran, Jabatan Kehakiman Syariah dan pusat-pusat zakat adalah antara model bagaimana perlaksanaan MS 1900 yang patuh syariah dan menepati prinsip wasatiyah dapat dicontohi dalam memastikan pengurusan kualiti yang berkesan dalam institusi pentadbiran awam di Malaysia.

Secara amnya, ketajaman buah fikiran ketiga-tiga pengarang dalam buku ini menjadikan tidak banyak komen kritikal yang dapat dilakukan terhadap tulisan mereka. Ini adalah kerana soalan-soalan yang biasa dikemukakan seperti, “Adakah dengan menggunakan prinsip-prinsip Islam dalam perkara-perkara yang dikaji di dunia Barat, perkara-perkara itu sudah boleh dimasukkan istilah Islam bersamanya?” telahpun dijelaskan dengan baik dalam penulisan buku ini. Apa yang difahami adalah, selagi persoalan tauhid tidak dikompromi dalam perkara-perkara yang dikaji, dalam banyak hal pemakaian istilah seperti “governan Islam”, “demokrasi Islam”, dan “pengurusan kualiti Islam” sememangnya sesuai digunakan dan ianya bertepatan dengan kehendak syariah.

Namun begitu, cuma ada dua perkara yang mungkin boleh difikirkan bersama di sini. Pertama, perkataan “perspektif Islam” dan “kontemporari” yang ada pada tajuk buku ini boleh mendatangkan tanda tanya kepada pembaca tentang ketepatan dan kesesuaian makna tajuknya. Hal ini adalah kerana apabila istilah perspektif Islam dan kontemporari digandingkan bersama seperti itu, ia boleh membawa maksud bahawa perspektif Islam itu tidak mempunyai nilai kontemporari. Walau bagaimanapun, apabila dibaca tulisan-tulisan dalam buku ini dengan teliti, perspektif Islam itu juga merangkumi perspektif kontemporari dalam menganalisis tadbir urus efektif, politik, dan kualiti yang ditelusuri.

Tambahan pula, dalam sesetengah bab, kadangkala digunakan perkataan “perspektif Barat” atau “konvensional” bagi membezakan perspektif berkenaan dengan perspektif Islam, namun tidak pasti sama ada istilah itu juga membawa maksud perspektif kontemporari. Ustaz Zaidi misalnya, ketika membincangkan falsafah politik bukan Islam, menggunakan istilah falsafah politik Barat, manakala Ustazah Arni pula menggunakan istilah konvensional ketika membincangkan tentang pengurusan kualiti kaca mata Barat.

Sememangnyalah diakui bahawa istilah “Barat” atau “konvensional” juga adalah tidak tepat. Hal ini dikatakan demikian kerana konsep-konsep governan, politik, dan kualiti adalah konsep-konsep yang telah melalui evolusi, yang mana acuan dan ramuannya tidak lagi seratus peratus Barat, maka mungkin istilah “kontemporari” digunakan pada tajuk buku ini bagi menunjukkan bahawa unsur-unsur Islam sudah meresap ke dalam perspektif kontemporari pada masa ini. Jika ini sebenarnya yang dimaksudkan dengan penggunaan istilah “kontemporari” di dalam buku ini, satu penjelasan khusus perlulah dilakukan dalam penulisan-penulisan akan datang bagi mengurangkan tanda tanya berkenaan.

Keduanya, sungguhpun kesedaran tentang pentingnya Islam dalam dunia kesarjanaan secara amnya berlaku secara konsisten, tidak sebagaimana di Eropah dan dunia Barat keseluruhannya, yang mana pada satu ketika hampir keseluruhan aspek pendidikan dan penyelidikan telah pun disekularkan atau dipisahkan daripada kehidupan beragama, didapati dalam tempoh empat dekad kebelakangan ini, kesedaran dalam agama lain, khususnya agama Kristian, di dalam dunia kesarjanaan di Barat sudah semakin meningkat, yang mana mereka juga menolak idea sekularisme. Mulai karya Alasdair MacIntyre, “After Virtue” (1981), sudah terdapat gerakan agama di dalam dunia kesarjanaan Kristian yang begitu kuat, misalnya yang terdapat dalam gerakan pasca-liberalisme.

Karya Charles Pemberton yang membincangkan aspek akidah agama Kristian dalam masyarakat madani mereka di dalam buku bertajuk “Theology and Civil Society” (2017) adalah contoh bagaimana semenjak tahun 1990-an pengaruh agama dalam dunia kesarjanaan semakin meningkat dengan banyaknya. Malahan, karya terbaharu Michael Sandel,
The Tyranny of Merit” (2020) dalam Bab 2 membincangkan dengan mendalam bagaimana pengaruh agama dalam perdebatan kesarjanaan di Barat itu. Ini membawa maksud bahawa pemahaman tentang sekularisme yang berkembang lebih 300 tahun di dunia Barat itu tidak statik dan kita perlu lebih sensitif bagi membolehkan pemahaman tentang evolusi falsafah Barat, supaya perbahasan governan, politik, dan pengurusan kualiti dapat diperluaskan lagi.

Hakikat buku tulisan Sharifah Hayaati, Mohamad Zaidi, dan Siti Arni (kesemuanya dari Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya) yang dibantu oleh beberapa pengkaji lain ini telah menyediakan huraian yang mendalam tentang topik tadbir urus, pemikiran politik dan pengurusan kualiti adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan. Ianya merupakan projek yang amat penting bagi masyarakat Malaysia, lebih-lebih lagi apabila di dalam buku ini banyak diterangkan bagaimana aplikasi konsep-konsep berkenaan dipraktikkan di negara ini. Buku ini bukan sahaja wajar dibaca oleh pelajar-pelajar dan pensyarah universiti, tetapi juga sesuai dibaca oleh pembuat dasar, ahli politik, dan juga orang awam keseluruhannya.

Makmor bin Tumin

Jabatan Pentadbiran Awam

Fakulti Perniagaan dan Ekonomi

Universiti Malaya

50603 Kuala Lumpur

Emel: makmor@um.edu.my

Tag:
Nalar Lainnya
...
Dadan Supardan

Semangat Revitalisasi di Mata Angkie

Nalar Lainnya
...
ENDANG KOMARA

INDEPENDENSI ASN

...
Asep S. Muhtadi

Komunikasi Pembelajaran di Masa Pandemi

...
Prof. Dr Cecep Darmawan, S.Pd., S.IP., S.H.,M.H.,M.Si.

EKSISTING DAN PROBLEMATIKA PENDIDIKAN DI JAWA BARAT

...
...
...